Thursday, December 6, 2012

Perjalanan

En John, seorang lelaki biasa berkaki dua bertangan dua. Sihat, cerdik cerdas dan juga subur.

Kira-kira belasan tahun dahulu, En john tidaklah sepandai mana, SPM pun terkontang kanting, tidak seperti rakan-rakannya yang lain, sana sini A tegak. Mungkin dia malang atau sedikit malas ketika dahulu, maka tidaklah dia dapat sebarang tawaran melanjutkan pelajaran, tidak walau ke tingkatan 6. Sedih malang nasib dirinya, nasib tidak dibuang keluarga.

Mujur ada seorang kawan yang menghampirinya dan mengajaknya bekerja di sebuah syarikat perundingan. Maka bekerjalah beliau sebagai kuli tukang lukis pelan. Lukis guna pensil atas kertas. Gaji pula entah berapa sen. Maklumlah zaman dahulu kala. 
Kesimpulannya, bodoh belajar, bodoh jugalah kerjanya.

Kerja punya kerja, demi kerajinan dan juga nasfu mencari wang, akhirnya si bos menghantar beliau mempelajari autocad. Teknologi baharu bagi melukis pelan. Tidak perlulah lukis di atas kertas biru lagi. Lalu apabila mahir sudah, hatta dinaikkan sedikit martabat menjadi seorang designer. Belajarlah beliau serba sedikit teori itu dan ini. 

Dasar bos, mentang-mentang syarikat dah maju, projek dah banyak, designer dihantar pergi ke meeting itu dan ini. Kalau bayar lebih tak apa, ini bayarannya designer juga. Habis teruk dimarahi semua pihak. Yelah hendak menjawab masih bodoh, hendak buat keputusan takut salah. Tapi dari situ jugalah dia belajar dan memperbaiki kelemahan diri. Lama kelamaan dia sudah matang dan pandai, lalu boleh pula memarahi orang lain. Dan dalam diam dia menggunakan wang kocek nya sendiri melanjutkan pelajaran ke Universiti Swasta.

Oleh kerana kejayaannya yang berbagai itu, ramai orang yang mempercayai kebolehan dirinya. Lalu ada seseorang yang menawarkan jawatan jurutera. Bekerja beberapa tahun sebagai jurutera bawahan, tiba-tiba ada pula yang berminat menjadikannya rakan kongsi. 
Inilah cerita budak lepasan SPM kini menjadi bos pula. Kalau mahu berusaha pasti berjaya.

No comments: