Tuesday, April 9, 2013

Bumi


Mati itu pasti dan hidup itu mungkin. Sebesar mana pun rumah bermula dengan seketul bata, dihias indah bagai mana pun bila mati nanti dalam tanah jua tempatnya. Besarnya hanyalah muat-muat badan. Dibumbungkan dengan beberapa kepingan papan lalu dikambus tanah yang berisipadu 7 kaki darab 7 kaki darab 3 kaki. Lalu ditandakan dengan 2 batang nisan.

Talkin dibacakan bukan atas sebab soalan bocor bagi simati, tapi sebagai peringatan pada yang hidup. Yang mati itu telah mati, dan yang hidup perlu teruskan beringat akan kewajipan hamba pada sang pencipta.
Suasana pada petang itu sangat hening. Dengan hanya dihadiri beberapa orang saudara mara, jenazah Esah dan Husin dikebumikan. Berita kematian itu tidak dapat dihebahkan meluas kerana mengejar masa. Mayat yang telah siap di mandi dan dikafan kan sejak dari hospital kota tinggi, hanya menunggu dimuatkan kedalam liang lahad.

Mujur rintik hujan hanya turun seusai bacaan talkin. Lalu semua yang hadir bergegas pulang. Si ibu dan bapa si mati juga tidak menunggu lama, kerana ingin segera pulang dan menyediakan persiapan untuk majlis bacaan tahlil. Jef malam ini akan turut serta membacakan tahlil kedua-dua mayat di masjid arrahman. Masjid bertentangan dengan tanah perkuburan tersebut.

...

Maklumat yang diperolehi dari emak Esah dijadikan panduan bagi Jef. Lalu pada jam 9 pagi dia bergerak dari Balai Polis jalan Travers dan terus menuju ke Kolej kediaman ke-12 Universiti Malaya. Sasarannya adalah pejabat kolej kediaman tersebut bagi mendapatkan maklumat terperinci tentang Dani. Pada mulanya pegawai yang bertugas tidak mengendahkannya sangat. Mungkin terlalu sibuk atau hanya mengular membuang masa.

Setelah Jef menerangkan situasi sebenar, barulah si staf tersebut melayaninya. Diberikan serba sedikit butir peribadi Dani seperti nombor telefon bimbit, nombor bilik dan juga jurusan pengajian. Ternyata nombor telefon yang dicatatkan adalah sama seperti yang diberikan emak Esah dan masih juga tidak dapat dihubungi. Lalu dia membuat keputusan untuk pergi sahaja ke bilik Dani dan mencarinya di sana.

Jef baru perasan yang diluar pejabat adalah kantin. Lalu dia singgah sebentar untuk mengisi perut. Dipesannya teh tarik dan juga nasi lemak. Makanan kegemaran rakyat Malaysia. Ternyata harganya lebih murah jika dibandingkan dengan harga diluar kampus. Tetapi kualitinya sedikit mengecewakan. Mungkin sebab itu tak ramai mahasiswa dan mahasiswi yang mengambil sarapan.

Sedang dia menikmati hidangan pagi, matanya melilau ke kiri kanan. Melihat gadis-gadis muda. Ada yang cantik berbaju kurung, dengan rambut diikat kemas. Ada juga yang selekeh bagai belum menggosok gigi. Tiba-tiba, matanya terpandang wajah seorang lelaki. Lekas-lekas dikeluarkan kertas-kertas yang disalinkan oleh staf di pejabat dan diperiksanya gambar diborang salinan itu. Ternyata wajah yang sama dilihat di meja penjuru kiri dan juga di borang tersebut. Jef pasti, lelaki yang dilihatnya itu adalah Dani.

Dihampiri lelaki itu. Lelaki yang ditemani seorang wanita.

“Assalamualaikum. Adik ni Dani ke?”
“Waalaikum salam. Ye nama saya Dani. Kenapa?”
Salam dihulur lalu Jef tersenyum. Kerjanya semakin mudah. Salam disambut dan senyum dipaksa. Hairan dipagi hari disapa lelaki tak dikenali.

“Saya inspector Jef. Dari Balai polis air tawar 2 kota tinggi. “

No comments: