Thursday, April 4, 2013

Laporan

Isnin, siapa yang sukakannya. Tentu sahaja sangatlah sedikit. Sebab isnin itu biru. Mata kelat, badan malas dan belum ada desakan untuk bekerja tak kira usia tak kira bangsa. Dari budak sekolah sampai ke orang dewasa, dari bangsa melayu sampai ke orang putih semua lembik longlai. Mungkin tak cukup cuti atau lama sangat telah bercuti.

Tapi bukan bagi Jef, isnin adala hari yang ditunggu-tunggu olehnya. Jadualnya hari isnin sangat padat seberat sarapan yang biasa diambilnya. Dimulakan latihan menembak seawal jam 9 pagi. Semacam dalam cerita di layar perak, Jef akan berlatih dengan melerai dan mencantumkan semula pistol. Selepas itu dia akan memulakan latihan menembak. Selalu sasarannya hanyalah papan-papan berimej seperti manusia dan terdapat lingkaran markah. Tapi kadang kala dapat juga dia menembak gel-gel balistik. Dia tak kisah pun, yang penting hanya menembak.

Berlatih menembak pistol ini memerlukan tangan yang tegap kerana sentapannya amat kuat. Ini disebabkan prinsip momentum iaitu hasil vector antara halaju dan juga jisim. Dikaitkan pula dengan konsep keabadian momentum. Pada awalnya jisim penuh satu sistem itu terdiri daripada jisim pistol dan juga pelurunya. Tapi desebabkan belum ada sebarang pergerakan, jadi momentumnya adalah sifar. Namun apabila sebutir peluru memecut dari pistol, satu gerakan kebelakang akan terhasil bagi memansuhkan momentum peluru itu. Maka kalau tangan seseorang itu tidak tegap, mungkin pistol tersebut akan membawa tangan kebelakang atau ke atas. Lebih teruk jika terkena ke muka. Boleh biru lebam jadinya.

Keterujaan Jef terhadap isnin tidak hanya terhenti di situ. Hari ini, dia lebih bersemangat kerana, dia ingin menunjukkan hasil kerjanya malam tadi kepada ketua balai. Bukan berniat untuk membodek. Dalam kamus hidupnya tiada perkataan seumpama itu. Dia buat kerja sehabis baik. Segala tugas yang diamanahkan, akan dilakukan dengan ikhlas. Bukan untuk nama tetapi demi rezeki yang berkat.

"Assalamualaikum Tuan."
"Waalaikum salam. Ye Jef, ada apa perkembangan?"

"Err, ni bukan tentang kes di air terjun Tuan. Ini tentang kes semalam, tentang tayar hilux meletup tuan."
"Kes semalam? Apa yang kamu dapat?"

"Semalam sebab saya tak bertugas, jadi saya menyertai majlis kunjungan PM sebagai orang awam dan banyak mengambil gambar. Jadi terdapat gambar beberapa individu yang mencurigakan tuan. Ini merupakan individu tersebut tuan. Ada 3 semuanya. Nampaknya macam bukan orang sini."
"Terima kasih Jef. Awak memang bagus. Tetapi saya dah berikan kes air terjun tu pada awak. Jadi sila serahkan segala maklumat yang awak perolehi kepada inspektor Mizal. Saya mahu awak fokus pada kes awak dulu."

"Baik tuan."
Walau sedih dimarahi sebegitu, tapi dia sedar tentang tugasnya. Sepatutnya dia tidak mengganggu siasatan yang dilakukan orang lain. Ia selalunya bukan mengganggu tapi hanya mengelirukan. Jadi Jef akur dengan arahan ketuanya.

"Awak dah telefon saudara mara mangsa?"

"Belum tuan."
"Pergi telefon cepat, saya mahu mereka datang dan tuntut mayat mangsa secepat mungkin. Saya juga mahu kamu tanya mereka, mana tahu mereka saling mengenali dan ada suspek yang disyaki mereka. Ingat Jef, kita perlu cepat dan cekap. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran." 

Sebaik sahaja keluar dari bilik ketua, Jef mengeluh. Memang salahnnya, dan dia terus tersedar, mengeluh sahaja tak berguna. Dia perlu bertindak segera bagi melunaskan kerjanya. Mungkin selepas itu, dia boleh menyertai Inspektor Mizal menjejak individu-individu mencurigakan itu.

Melalui maklumat yang diberikan unit forensik mengenai butir peribadi mangsa, Jef mencari pula nombor telefon yang berkaitan dengan alamat kad pengenalan kedua-dua mangsa dengan menggunakan buku panduan kuning dari syarikat telekom malaysia. Setelah 3 cawan kopi hitam pekat tanpa gula diteguk, akhirnya berjaya dia mendapatkan nombor telefon rumah Esah dan juga Husin.

Ternyata, orang tua kedua-dua mangsa amat terkejut dan bagaikan tidak percaya.

No comments: