Thermometer digital yang terdapat pada jam meja menunjukkan suhu serendah 16 darjah Celsius sama sejuk seperti pagi-pagi semalam. Dalam kedinginan yang menusuk hingga ke tulang itu, jam tersebut memekik kuat bagi mengejutkan tuannya dari dirantai syaitan dan menunaikan kewajipan seorang hamba kepada pencipta. Namun tuan empunya badan tidur mati.
Kerana deringan yang kuat, jam tersebut bergegar dan membuatkannya bergerak ke sisi meja. Lalu apabila genap 5 minit ia berdering, jam tersebut jatuh dengan pecutan graviti tepat ke 1 butang merah yang bakal menyebabkan tuan jam tersebut bangun dari mati sementara itu. Butang merah tersebut adalah sistem yang menyebabkan satu belon air jatuh ke muka dr. Ali. Lalu, dengan muka yang basah, dia membaca doa bangun tidur dan segera menuju ke bilik air bagi membersihkan diri dan berwuduk.
Apabila dia bangkit dari katil, katil itu mengemaskan cadar, gebar dan bantal busuknya. Katil itu berfungsi secara automatic apabila tiada sebarang daya yang bertindak ke atasnya. Beberapa set spring telah diletakkan dipenjuru katil bagi membolehkannya menegang cadar dan gebar serta meletakkan bantal ke tempat asal. Bahagian yang basah itu juga turut dikeringkan dengan alat pemanas yang sebenarnya berfungsi untuk membantunya memanaskan badan ketika suhu yang rendah, namun kini ia selalu digunakan hanya untuk mengeringkan air pengejut itu.
Selesai sahaja solat subuh, Dr. Ali tidak akan tidur kembali, dia sering teringat pesan moyangnya yang mengatakan pintu rezeki akan tertutup bila seseorang tidur selepas subuh. Oleh itu, dia akan melakukan beberapa senaman bagi menyegarkan badannya itu dan senaman yang paling digemari adalah berjoging di atas mesin jogging 3dnya yang telah dicipta beberapa tahun yang lalu. Mesin ini akan membolehkan dia berjoging dimana-mana taman rekreasi yang dia gemari. Semalam dia telah berjoging di sebuah taman bunga di Sydney, hari ini dia ingin ke taman sayur-sayuran di Negara matahari terbit.
Dia bukannya tidak mahu berjoging di taman yang sebenar, tetapi di luar sana terlalu banyak pencemaran yan berlaku dan dia merasakan situasi itu akan lebih memburukkan kesihatannya. Seperti asap-asap hitam yang mengandungi karbon monoksida dikeluarkan oleh kenderaan dan ada juga jenayah-jenayah rompakan yang kini seringkali menghiasi dada akhbar. Tambahan lagi dengan kejadian semalam di mana dirinya hampir diculik oleh kumpulan Ah Long. Nasib baik dia selesema, jika tidak apalah nasibnya sekarang. Ketika dia terkenang kejadian itu, cepat-cepat dia mendoakan keselamatan pengemis yang dia samarkannya semalam.
Selesai berjoging sejauh 2 KM di taman sayur-sayuran yang menghijau itu, dia mandi dan bersiap untuk sarapan yang dimasak oleh robot peribadinya yang bernama ‘BBK’. Semasa memakan sandwish tuna itu, dia merancang untuk memasukkan beberapa resepi baru ke dalam memori BBK kerana dia telah bosan memakan sandwish setiap pagi.
Satu lagi rutin harian yang akan dilakukannya tepat jam 9:30 pagi adalah bekerja di makmalnya, atau lebih sesuai dipanggil bengkelnya. Bengkelnya mempunyai pelbagai peralatan dari yang kuno sehinggalah yang moden. Bengkel ini juga menyimpan semua ciptaannya, sama ada yang gagal mahupun yang berjaya. Dia turut menyimpan semua cetakan biru dan pelbagai lakaran ideanya yang belum sempat diciptanya. Keadaan di situ tidak ubah seperti didalam sebuah muzium. Walaupun terdapat banyak peralatan yang sering digunakan, tetapi semuanya tersusun rapi dengan adanya robot pengemas yang bernama ‘E-one’. E-one jugalah yang sering membantu Dr. Ali memasang rekaannya.
Dr. Ali dan E-one kini sedang sibuk menyiapkan mesin masa yang telah mula dibangunkan 2 purnama yang lalu. Hari ini, mesin masa ini akan siap sepenuhnya dan jika masa mengizinkan ia akan diuji petang nanti. Tinggal beberapa komponen sahaja yang akan dipasang dan mesin masa ini mungkin akan mengubah sejarah dunia. Sedang asyik mengimpal satu komponen terakhir iaitu penembak electron, tiba-tiba bekalan elektrik terputus.
Dr. Ali tenang sahaja menghadapi situasi itu kerana rumahnya dilengkapi dengan sistem sokongan dimana elektrik akan dijana oleh sebuah mesin khas hasil ciptaannya juga. Apabila sistem itu berfungsi, lampu bengkel ternyala dan menerangi ruang itu. Tetapi alat pengimpal yang berada ditangannya tetap tidak dapat berfungsi. Secara sponta Dr. Ali terus menepuk dahinya. Baru dia teringat yang sistem tersebut hanya menjana elektrik dengan voltan yang rendah, tetapi alat pengimpal itu memerlukan kuasa yang tinggi dan sudah tentu ia tidak dapat digunakan.
Sambil mencangkung, dia memikirkan ciptaannya itu yang entah bila akan siap. Maklumlah, Bandar ini sememangnya mempunyai masalah bekalan elektrik yang kronik. Jika bekalan elektrik terputus, selalunya ia akan mengambil masa beberapa hari untuk ia pulih. Ketika sedang berangan itulah dia teringat akan ciptaan terbarunya. Sebilah keris yang bisa memancarkan laser. Laser merupakan cahaya yang panas dan haba yang terhasil dapat mencairkan logam yang digunakan untuk mengimpal komponen terakhir mesin masa itu.
Sedang asyik mengimpal, tiba-tiba penggera berbunyi. Dr. Ali serta merta terfikir, mungkin bekalan elektrik ini terputus bukan kerana masalah yang sering berlaku, tetapi dilakukan oleh penceroboh yang kini berada dalam rumahnya itu. Lalu dia terus menghubungi BBK dan memerintahkanya mencari punca dan membaiki masalah itu.
Beberapa minit kemudian, BBK berjaya menyelesaikan tugasnya dan bekalan elektrik kembali seperti biasa. Pada saat itu juga terjongol 6 lembaga di pintu masuk bengkel Dr. Ali. Daripada 6 lembaga tersebut, Dr. Ali mengenali seorang wanita dan dia tidak sangka wanita tersebut akan mengkhianatinya. Wanita itu adalah pengurusnya dan merupakan satu-satunya wanita yang memikat hati lelaki Dr. Ali. Tetapi, belum sempat Dr. Ali ingin meluahkan isi hatinya, wanita itu telah menoreh luka dalam yang mungkin meninggalkan parut selamanya.
-bersambung-
1 comment:
best gak...
bgs2..
da mkin maju da...
huhuhu
(sry ayu lmbt bc...)
Post a Comment