Tuesday, February 26, 2013

Hantu

Apabila garis jingga kelihatan dicelah-celah dedaunan, tika itu jugalah 2 buah khemah siap didirikan. Lantas mereka berempat sepakat untuk mendirikan solat maghrib berjemaah dengan diimami oleh Dani. Mungkin dia bukanlah yang paling alim tentang ilmu agama, tapi 2 orang perempuan tentulah tak boleh menjadi imam, dan Husin pula hanya belajar agama mengikut buku teks tanpa dipraktikkan. Ilmu agamanya hanyalah sekadar ikutan semata-mata dan islamnya dia hanya kerana dilahirkan sebagai anak orang yang mengaku dirinya islam serta telah tertulis jelas dalam kad pengenalannya yang dia beragama islam. Itu sahaja, islam hanya nama.

Beza khusuknya solat di kelilingi semata-mata ciptaan Allah. Bermula dengan sejuk segarnya wudhu dari air terjun, sehinggalah bacaan surah fatihah yang disahut riang-riang dan cengkerik hutan. Tahap khusuk juga lebih tinggi dari biasa apabila nikmat berzikir dan berdoa dibumbungi langit hitam dihias bintang helium hidrogen yang terbakar jauhnya beribu juta cahaya serta pelakuran yang berlaku mencecah ribuan darjah celcius.

Seusai doa dipanjatkan lilin askar dibakar. Kelengkapan memasak seorang palapes dikeluarkan, dan malam ini hidangan segera ala palapes menjadi santapan dan pengalas perut mereka. Mujurlah makanan tersebut hanya perlu dipanaskan beberapa minit, jadi kelaparan akibat berendam terlalu lama di dalam air siang tadi akan dapat diatasi dengan segera.

Sebelum memulakan suapan makanan, Dani membacakan doa makan dalam bahasa arab beserta terjemahan bahasa melayunya. Masing-masing mula makan dengan lahap dalam sopan.

"Hebatlah kau Dani, terjemahan pun kau tahu ye."

"Haha, aku ni pun belajar dengan anak sedara aku yang umur 5 tahun. Sekarang ni tadika semua da bagus da. Dia ajar budak-budak baca macam-macam doa dengan terjemahannnya. Jadi kita pun boleh belajar dengan budak-budak tu."
"Oh yeke. Esah dulu belajar masa kat tadika yang bahasa arab tu je. Lepas tu cikgu tu cakap kena baca doa atau baca bismillah sebelum makan. Kalau tak nanti ada syaitan yang ikut masuk dalam perut."

"Jadi sampai sekarang kau masih percaya kata cikgu kau tu? Kau masih percaya yang kalau telan biji limau nanti tumbuh pokok limau dalam perut."

"Tak adalah nak percaya sangat, tapi syaitan tu kan makhluk halus, mana kita nampak. Dan aku tak adalah bodoh sangat nak percaya pasal pokok limau tu."
Ye, memang Esah dah lama tak mempercayai pasal pokok tu. Sebab dulu dia banyak tertelan buah limau, tapi tak ada satu pun yang berjaya tumbuh dari perutnya. Atau sebenarnya pokok tu dah tumbuh dan berbuah, tapi sebab buah tu pun dalam perut, jadi secara automatik Esah makan terus buah tu. Tu yang berat badan bertambah walau tidak makan apa-apa. 

Dalam asyik makan dan berbual kosong, tiba-tiba mereka semua menangkap suatu suara yang dibawa angin.  Mulanya angin yang sepoi bahasa itu hanya membawa sedikit perkhabaran, namun dalam sekejapan angin kuat melanda sehinggakan lilin askar juga terpadam. Mujurlah Husin memegang sebuah lampu suluh ditangannya. Kalau tidak bergelap gelita mereka.

Makin diamati, makin kuat bunyi beberapa suara manusia bergelak tawa. Bukan sahaja mengganggu kedamaian malam hutan, ia turut mengganggu mereka berempat. Entah bunyi asli manusia atau bunyi tiruan yang diolah oleh makhluk halus penunggu air terjun lagenda ini.

"Jom kita pergi cari sumber bunyi tu tadi."
"Hah? kalau kau nak pergi, pergilah sendiri Suzie. Aku takut la."
Husin menyanggah segera cadangan dari Suzie.

"Takkan kita nak biarkan Suzie pergi sendirian, jom kita teman dia Dani. Awak beranikan."
"Hmm ye lah. So kau Husin taknak ikutkan. Jaga khemah."
Arah Dani.

"Kalau semua nak pergi aku pun pergilah."
Cepat-cepat Husin memegang tangan Suzie. Kalau Dani pegang tangan Esah bagi mengurangkan takut Esah, Dani pula pegang tangan Suzie sebab dia yang takut.

"Kalau hantu macam mana?"

"Kalau hantu kita larilah, baca ayat kursi ke"

"Ayat kursi tu apa, apsal nak kena baca ayat kursi."
"Hish korang ni penakut betul lah. Kalau jumpakan bagus. Rezeki. Bukan semua orang leh jumpa."


No comments: