Monday, March 18, 2013

Balik

Sama macam hari-hari semalam, stesen komuter seremban tidak pernah lengang. Ada sahaja manusia yang ingin menggunakakn perkhidmatan kereta api cabuk ini yang menghubungkan negeri sembilan dengan ibu negara Malaysia.

Dalam kesesakan itu terselit Dani dan juga Suzie. Usai membeli tiket sehala ke KL sentral mereka berdua menunggu di platfrom. Beginilah keadaannya di stesen komuter. Selagi isipadu kumulatif manusia itu tak menghampiri isipadu gerabak kereta api, selagi itulah kereta api tak akan sampai. Tak tahu mana silapnya, atau sememangnya tiada sebarang kesilapan dalam mengatur jadual perjalanan, tetapi memang sistemnya direka sebegini. Bukan keselesaan dan kepuasan pelanggan diutamakan, tapi keuntungan syarikat yang didahulukan.

Masih ingin lagi pada suatu ketika dahulu, Perdana Menteri yang ke lima turut pernah bersesak sesak dalam kereta api ini bagai ikan sardin dalam tin ayam brand. Ketika itu malu besar komuter, dan seluruh malaysia menjangkakan akan adanya perubahan positif dari pihak komuter. Namun semua harapan musnah walau dengan pelaburan membeli gerabak-gerabak terpakai. Rela membeli barangan bundle dari menghasilkan sendiri. Maklumlah memang budaya rakyat malaysia bekerja sambil lewa, tidak mementingkan kualiti. Jadi lebih baik beli bundle dari beli baru tapi 1001 masalah.

Setelah menunggu hampir sejam, barulah keretaapi tiba. Berasak-asak mereka menaiki keretaapi. Langsung tiada adab dan tatsusila siviknya. Masing-masing memikirkan akan diri sendiri. Penuh kerusi dengan bontot, penuh juga tiang, palang dan dinding dijadikan tempat berpaut mengelak dari terjatuh dan terhuyung hayang kerana inertia. Dalam kesesakan itu, Dani berdiri berhadapan dengan Suzie. Rapat, sangat rapat. Bukan sengaja tapi memang sesak, dan lebih baik Suzie di depan Dani. Rasa lebih selamat.

Tiba-tiba dalam terhuyung hayang dibuai gerakan kereta api yang halajunya sentiasa berubah yang lampunya kadang nyala kadang terpadam, telefon bimbit Dani berbunyi. Di seluknya poket seluar dan dengan bersusah payah dipandang skrin telefonnya. Lalu dibiarkan sahaja dan ditekan butang batal. Tidak ingin dijawab panggilan tersebut.

"Siapa?"
Tanya Suzie.

"Emak Esah."
"Dia nak apa?"
"Mana tau."

Dengan pantas Suzie mencapai tangan Dani lalu diambilnya telefon dani dengan cermat. Suzie bersandar ke dinding gerabak dan dengan kedua tangannya, dia membuka penutup telefon Dani. Lalu ditanggalkan kad simnya dan dipulangkan semula telefon Dani. Lalu dia tersenyum pada Dani.

Dani hanya termanggu. Tapi belum sempat Dani bersuara. Suzie menunjukkan telefonnya yang telah berbogel dan kad simnya turut dikeluarkan.

"Tak apa, nanti sampai KL Sentral kita beli nombor baru ye. Biar tak ada orang lain yang kacau kita lepas ni."

Baru Dani faham dan dia tersenyum. Senyum ikhlas, senyum kegembiraan, bukan senyuman yang dibuat-buat. Lalu Dani dengan spontan terus memeluk Suzie. Pelukan yang bukan bersifat nafsu, tapi pelukan yang penuh kasih sayang. Getar kasih itu dapat dirasakan Suzie dan secara tak sengaja tumpah air matanya membasahi bahu Dani. Dani tersedar, lalu melepaskan pelukannya perlahan-lahan.

"Kenapa Suzie? Aku ada sakitkan kau ke?"
"Tak ada apa, aku cuma terharu. Selama aku hidup, selama memori aku berfungsi, inilah kali pertama aku dipeluk dan pelukan ini penuh kasih sayang. Terima kasih Dani. Sebab jadi kawan aku, sahabat aku."
"Dah la jangan menangis ye. Lepas ni aku janji, aku bukan sahaja jadi kawan dan sahabat kau. Aku akan jaga kau dan aku janji akan berikan kasih sayang aku pada kau selama-lamanya."

No comments: