Saturday, March 2, 2013

Serampang 2 mata

"Maafkan aku Husin. Sememangnya ini memang rancangan aku. Aku hanya ingin memiliki Dani. Aku tak sanggup melihat dia bahagia bersama orang lain. Hati aku sakit bagai dicucuk-cucuk. Dari dulu lagi aku memang sukakan Dani, tapi malangnya cinta aku bertepuk sebelah tangan. Jadi sebenarnya aku terpaksa."

Badan Husin menggigil. Syaitan kini berusaha merasuk jiwa hatinya yang panas kemarahan. Dengan serta merta di meletakkan mayat kaku Esah yang masih lagi terbeliak ke atas tanah. Tiba-tiba dia melompat melangkah Esah dan menendang muka Suzie.

"Sial punya perempuan, kau cakap kau nak buat benda lain. Bila kau dah kikis duit-duit aku, aku dah belikan macam-macam ini yang kau balas. Aku nak Esah, aku bukan nak mayat dia. Mati kau malam ni."

Sepakan sulung Husin membuatkan Suzie terjatuh dan tanpa melengahkan masa cepat-cepat dia bangkit. Dia sedar kalau dia terbaring peluangnya untuk kalah sangat tinggi sebab Husin boleh menyerang dalam pelbagai arah tetapi pergerakannya pula terbatas. Berdiri lantas memasang kuda-kuda, menanti serangan kedua dari Husin.

Bagai orang gila, Husin terus menyepak lagi dengan kaki kanannya. Berkali-kali, semuanya menyasarkan kepala Suzie. Itu yang dipelajari dari kelas taekwandonya dan amarah menguasai diri. Dia hanya mengikut gerak yang sering dipraktikkan. Berkali-kali dan tekniknya juga sama. Setiap tendangan itu juga ditepis Suzie. Masuk tendangan ke tujuh, tiba-tiba Suzie meluru merapatkan badan dan meletakkan kaki kanannya di belakang kaki kiri Husin. Lalu ditolak badan Husin kebelakang. Husin hilang imbangan dan jatuh buat pertama kalinya. Belum sempat badan mencecah tanah, tumbukan Suzie hinggap ke peha Husin.

Suzie melompat kebelakang, menjauhkan diri dari Husin. Menarik menghembus nafas bagi menstabilkan kembali rentak nafas. Dalam kepayahan Husin bangun dengan peha yang masih kesengalan. Kini dia tahu yang Suzie bukan calang-calang lawan. Mungkin ini semua dipelajari semasa mengikuti latihan palapes. Jadi dia perlu lebih berhati-hati dan menyerang dengan lebih bijak. Jangan biar nafsu amarah memandu gerak tubuhnya, sebaliknya perlu menyuntik sedikit helah dari otak geliga.

Beberapa kali diacah. Tumbuk angin sepak angin, kini Husin bersedia untuk melancarkan serangan. Kaki kiri  diangkat setinggi lutut, dengan pantas Suzie mengakat tangan separa muka bagi menepis tendangan itu. Tapi Husin menarik kembali kaki kanannya lantas menendang belakang kepala Suzie dengan kaki kirinya. Suzie masih mampu mengimbangi badannya dari jatuh, namun gerakan Husin tidak terhenti di situ. Dengan tiba-tiba buku lima tangan kanannya menyauk perut Suzie. Kali ini, tubuh kecil Suzie tidak dapat menahan impak tumbukan kuat itu. Daya yang terhasil dari jisim buku lima dan pecutannya dari halaju kosong membuatkan Suzie sedikit melayang lalu rebah ke tanah.

Senak. Suzie tidak berpeluang melawan lagi. Kalau diteruskan pun mungkin tenaganya tidak mampu menandingi tenaga seorang lelaki yang terlebih makan ini. Setelah dipijak-pijak beberapa kali, Husin mendudukkan Suzie dan mengikat kedua kaki dan tangannya. Dia yang kini telah kembali waras, bercadang untuk menyerahkan Suzie pada pihak polis pada esok hari.

Kalau ikutkan kata hati, mahu sahaja dia menolak Suzie dipuncak air terjun ini. Biar mati terhempas ke batu-batu yang berceracak di bawah sana. Biar tercerai daging dimamah ikan. Biar reput kembang dalam air. Biar nanti jadi puaka di hutan ini.

No comments: