Tuesday, March 19, 2013

Jatuh cinta


Dulu masa telefon bimbit belum ada, belum mampu dimiliki semua orang, budak-budak bercinta dengan surat cinta. Surat ditulis dengan cermat, dihias dengan ceria dan dilipat kemas. Kdang-kala dibuatkan sampul suratnya juga. Lalu surat cinta disisipkan melalui rakan-rakan yang menjadi posmen, walau kadang si pengirim hanya duduk dibelakang si penerima. Memang betul, surat lebih romantic. Bait-bait kata menusuk sampai ke hati dan kadang kala dibawa tidur menjadi azimat.

Cinta monyet, seringkali hinggap dijiwa mereka yang belum mengenal erti sebenar kehidupan. Tapi ini satu proses pembelajaran, dan kalau ada yang tersilap langkah pasti akan buta. Lalu menggelapkan masa hadapan.

Dulu Suzie juga tidak terlepas dengan perangkap cinta, rindu madah teruna dan dara. Farid namanya, dan dia yang memulakan surat utusan. Tulisannya ringkas dan jelas, sedap mata membaca sedap hati melayang. Beberapa utus surat berbalas, mereka berjumpa dan lagaknya sangat yakin. Yelah siapa tidak kenal Farid. Seorang lelaki yang popular di sekolah itu, olahragawan terkenal. Lariannya dihari sukan amat pantas sepantas lipas kudung, dan dia juga hebat dalam acara lompat tinggi. Kerana kebolehannya itu, seringkali dia melompat pagar asrama dan keluar membeli nasi goreng pataya. Dia sangat riak dengan kebolehannya itu, tapi kadang-kadang ramai rakannnya mempergunakannya demi memenuhi nafsu perut sendiri. Sebab riak, dia tidak sedar yang dia dibuli.

Sememangnya Dani telah melarang Suzie dari berkawan dengan Farid. Tapi kalau orang dah mabuk cinta, kentut pun berbau wangi. Jadi sikit pun Suzie tak mengendahkan amaran Dani, sehinggalah suatu hari Suzie mendapat surat minta putus. Tiada apa yang salah, hanya putus suka-suka. Mahu tukar angin katanya.
Memang Dani bukan ada apa-apa dengan Suzie, tapi Dani sahabatnya. Kalau peha kanan dicubit peha kiri terasa sakitnya, kalau Suzie bersedih Dani terasa peritnya.

Petang itu selesai kelas terakhir, dan ketika mereka berduyun-duyun pulang ke asrama, Dani mengambil sebatang kayu. Tanpa berfikir panjang di tetaknya kepala Farid dengan kayu tersebut. Pukul belakang, tidak dapat dilihat dan tiada peluang mengelak. Tepat mengenai kepala dan darah mengalir deras. Farid tersungkur tidak bermaya.

Kayu dilepaskan dari tangan lalu ingin disepaknya Farid yang terbaring ditanah. Gerak Dani pantas dihalang rakan-rakan Farid dan mereka menumbuk dan menendang Dani. Namun Dani yang pernah hidup sebagai gelandangan, hanya menahan pukulan itu tanpa balas. Sasarannya hanya Farid, dia hanya berdendam dengan Farid. Setelah puas mengerjakan Dani, rakan-rakan Dani mengalah. Biar ditumbuk, ditendang dan disiku tapi Dani tetap tegak berdiri. Hanya darah hangat mengalir dari bibirnya.

Mata tajamnya merenung tiap seorang dari mereka. Lalu tangan kanannya mengesat darah dari bibrnya dan digengam erat membentuk buku lima. Dinaikkan separas mata lalu dihalakan pada tiap seorang rakan Farid. Biar ramai, tapi mereka yang takut melihat lagak samseng Dani. Ini baru hero, bukan hanya kuat bila ramai, tapi turut berani walau sendirian.

Dalam semua bersedia jika Dani menyerang, Dani lebih dahulu mengorak langkah. Disepaknya perut Farid bagai menyepak bola dan diludah tanah disebelah muka Farid. Ludah yang mengandungi darah.

“Sakit? Mungkin sakit Suzie lebih teruk dari sakit yang kau kena hari ini. Cinta memang buta, tapi kalau kau main-main cinta Suzie lagi, mata kau yang buta nanti."

Dani terus berjalan tanpa memandang mereka dan kejadian ini hanya menjadi rahsia antara mereka. Tiada warden dan cikgu yang mengetahui kejadian ini. Kalau ada yang bertanya pun, luka-luka ini semua dapat dari latihan ragbi. Bukan bergaduh atau dibuli. Luka di kulit dapat diubati dan parut mungkin boleh hilang, tapi kalau dikenakan tindakan displin, luka hati ibu bapa tiada ubatnya.

Sebak Suzie mengetahui kisah itu dan sejak dari hari itu Suzie jatuh cinta dengan Dani. Cinta yang disimpan jauh dilubuk hati. Tidak diluah dengan kata-kata. Biar dari mulut, biar di atas kertas. Takkan timba mencari perigi. Biarlah ianya dipendam sahaja dan cinta yang bertepuk sebelah tangan itu mungkin nanti akan berbalas dan berbunyi.

No comments: