Sunday, March 24, 2013

Konspirasi


“Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh. Ingat lima perkara, sebelum lima perkara. Muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit, hidup sebelum mati.”

Dalam mimpi Jef bernasyid lagu raihan ini. Satu kumpulan nasyid yang cukup gah suatu ketika dahulu, bukan setakat di Malaysia, malah mendapat sambutan diseluruh dunia. Habis menyanyikan rangkap ini, Jef tersedar dari tidur dan mendengar azan subuh. Mungkin hidayah dari Allah yang memberikan peluang buat dirinya meningkatkan tahap imannya. Maklumlah iman manusia ini bukannya malar, ia sentiasa berubah ubah. Tapi bukan juga dalam graph pergerakan harmonic yang macam sin dan cos. Mungkin tiada bentuk graph yang dapat menyamakan tahap iman manusia. Jika dapat diolah satu model matematik sekalipun sudah pasti ianya berbeza bagi setiap manusia.

Jef sedar perkara itu dan dia tahu yang walau banyak mana hidayah dan peluang sekalipun, kalau diri sendiri tidak bertindak, semuanya tak akan berubah. Sama keadaannya dengan keadaan rakyat Malaysia, lagi-lagi orang melayu. Walau banyak mana sekalipun subsidi yang diberi, walau besar mana sekalipun hak keistimewaan yang diberi, tapi kalau hanya duduk tunggu disuap, pasti orang lain akan menyambar dahulu. Sebab si pemberi pun kadang kala ada sifat bosan. Rasa penat bekorban, jadi jalan senang diambil untuk diberikan pada mereka yang dapat padanya. Lagi bagus kalau yang datang itu bukan dengan tangan kosong. Datang dengan hadiah. Situasi menang sama menang.
Dalam berangan, pak bilal telah pun mengalunkan iqamat. Pantas Jef berlari memnggosok gigi dan mengambil wudhu.

...

Selesai solat berjemaah, Jef bercadang untuk baring dan tidur semula, tetapi matanya pula degil tak mahu tidur. Selalu kalau hari kerja punyalah mengantuk, tiba-tiba hari cuti boleh pulak mata terang benderang. Dia pun mandi dan bersiap-siap. Perkiraannya pasti telah ramai AJK di dewan membuat persiapan akhir menanti ketibaan Perdana Menteri.

Kamera dimasukkan dalam beg, topi dicapai, tali kasut di ikat dan siap segaklah Jef berbaju biru seluar hitam. Dikayuhnya basikah fixie yang bersprocket mati, tiada brek tangan. Mungkin sebab itu ia murah. Mula-mula beli dahulu hanyalah ikut-ikut dan kekok. Tapi sekarang sudah biasa. Setiap minggu, paling kurang sekali pasti Jef akan mengayuh basikalnya keliling Felda.

Pagi ini sebelum syuruk lagi Jef telah mula mengayuh. Ikut pintu pagar belakang kuarters polis, Jef turun bukit naik bukit. Sengaja dia nak ikut jalan jauh, menikmati embun pagi. Kalau dulu masa dia kecik-kecik, pergi sekolah naik basikal yang diubah suai sendiri, penuh kabus sepanjang jalan. Tapi kini bukan semua kawasan berkabus, hanya dibawah-bawah bukit yang masih banyak pokok dikiri kanan. RIndu suasana itu, suhunya dan pemandangannya.

Dikayuh perlahan-lahan, bukan seperti biasa sebab pagi ini niatnya lain. Hanya untuk memenuhi ruang masa dan dia tak mahu terlalu berpeluh sebab nanti dia nak terus ke majlis meraikan PM.

Sepanjang perjalanan, rata-rata pintu rumah masih lagi tertutup rapat dan hanya ada sebiji dua kenderaan yang bergerak di jalan raya. Ramai yang masih beradu, menikmati hari minggu. Tapi jangkaannya tidak meleset, telah ada beberapa AJK yang berada di Dewan.

“Kabare?”
Jef melaungkan teguran dalam bahasa jawa yang bermaksud apa khabar pada wak lan. Walaupun Jef bukan berdarah jawa, tapi perkataan asas seperti ini pastilah dia tahu. Majoriti masyarakat felda di Kota Tinggi ini orang jawa.

“Waras. Aku ingat siapa tadi. Rupanya kau Jef. Maklum aja lah, mata ni dah kabur. Yelah orang tua, lepas tu malam tadi tak tidur. Berkemas.”
“Orang kuatlah katakan. Tak gitu Wak Lan.”
“Kuat tak kuatlah Jef. Demi agama bangsa dan Negara. Gagahkan jugalah. Lagi-lagi sekarang ni isu kristianisasi.”
“Isu apa pulak ni Wak Lan.”
“Itulah budak muda, tak nak baca surat khabar, tak tengok berita. Malaslah wak nak cerita, kau amik surat khabar ni kau baca. Wak nak balik dulu. Tidur sekejap, nanti pukul 9 nak datang lagi.”
“Pukul berapa PM sampai Wak?”
“Jadualnya pukul 930. Okeylah, aku nak balik dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”

Helaian surat khabar diselak. Bukan taknak baca surat khabar, bukan taknak tengok berita, tapi kadang-kadang cerita-cerita tu meleret sangat. Yang parti ini dengan cerita dia, yang parti sana cerita dia. Pening jadinya.

Tapi isu kristianisasi ni macam serius. Nampaknya ada pihak yang bercita-cita menjadikan agama kristian sebagai agama rasmi di Malaysia. Bukan setakat pendakwahnya sahaja bersemangat, ahli politik pun turut serta. Nampaknya macam ada strategi terancang, isu demi isu digembar gemburkan. Mungkin ini konspirasi memancing undi penganut agama kristian. Tapi ini semua berita yang entah betul entah tidak.

Konspirasi ini banyak plotnya. Kadang kala ada yang sengaja menjatuhkan diri sendiri lalu Nampak bagai dijatuhkan. Ada pula yang memang merancang untuk menjatuhkan.  

Kalau betul ancaman ini, alhamdullillah kita masih ada ramai pemimpin yang mempertahankan islam. Tapi masalahnya, pemimpin sahaja tak cukup, kita sebagai rakyat juga perlu tunjukkan. Bukan sekadar protes jalanan, itu tak penting. Yang penting kena tunjukkan ukhwah dan kesatuan kita dalam beribadah dalam mengamalkan ajaran islam. Barulah mereka tiada sebab untuk mempersoalkan integriti agama islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Yang pasti hanya satu, yang lemah pasti akan kalah. Kalau bangsa melayu terus lupa leka dibuai mimpi indah dan janji manis, tak kira pemimpin tak kira rakyat, pasti tanah air tergadai. Kalau umat islam terus lalai digoda syaitan, tak kira imam tak kira makmum, pasti akidah dipijak dihina.

Memang dari zaman dahulu mubaligh kristian ini semangatnya teguh. Sebagai contoh, ada Paderi Itali yang bernama Matteo Ricci. Berhijrah dan menetap di china pada 1583 demi untuk mengembangkan agama kristian. Yang menariknya, pendekatanya bukan hanya melalui akhlak dan amalan keagamaan, tetapi dia turut menggunakan pendekatan akademik dan asimilasi budaya. Dia telah memperkenalkan matematik barat pada cina dan dia juga menerbitkan peta china yang pertama. Lalu dia dilantik sebagai ahli matematik di Beijing dan mati pada tahun 1610.  

Allah itu maha adil. Yang berusaha pasti berjaya, dan yang duduk berdoa tanpa usaha lambat laun akan rugi. Lihat sahaja negara-negara bergolak, bergaduh sesama sendiri lalu yang menang mereka yang berusaha iaitu kristian dan yahudi.

Cepat-cepat Jef beristigfar dan berdoa akan kemakmuran dan keteguhan iman dirinya dan juga seluruh umat islam. Menyesal rasanya dulu dia tidak belajar bersungguh-sungguh sedangkan itu wahyu pertama yang disampaikan Jibrail. 

No comments: